Monday 25 November 2013

Cina Muslim dan Penubuhan PAS 1951.


- Siapa dia?

RAMAI yang tidak sedar bahawa PAS atau Parti Islam Se Malaysia juga telah ditubuhkan oleh orang yang berbangsa Cina. Beliau adalah Haji Mansur JP.:

Satu: Nama sebenarnya ialah Haji Mansur bin Haji Hasan. Hj Hasan pernah disebut-sebut sebagai Hj Hasan Kwantung (Canton). Ayahnya beragama Islam, Islam asal dari negara China, berambut panjang bertocang. Rumahnya di tengah pekan Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Dua: Beliau mendirikan sistem pendidikan Islam pondok yang pertama di pulau, tidak termasuk Seberang Prai, di kawasan surau simpang 3 Bayan Lepas, Kampung Seronok dan Teluk Kumbar. Surau tersebut masih ada sampai sekarang. (Sumber: temuramah Ibnu Hasyim dengan anak bongsunya Hj Murshid di awal 1990an. Rujuk buku Ibnu Hasyim: Krisis UMNO-PAS, Penyelesaian Menurut Islam ??).

Tiga: Hj Mansur JP berjawatan sebagai Naib Yang Di Pertua Aguang PAS yang pertama selepas penubuhan PAS pada tahun 1951. (Rujuk buku Ibnu Hasyim: 1950-200 PAS Kuasai Malaysia?). PAS waktu itu ada 2 Naib YDP Agung.

Empat: Beliau bermenantukan seorang ulama terkenal di Pulau Pinang waktu itu, iaitu Hj Ahmad Badawi, ayah kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Hj Ahmad Badawi. Ada kenyataan menyebutkan bahawa Hj Ahmad Badawi sendiri (ayah Pak Lah) adalah adalah penaja parti PAS dan menubuhkan Pemuda PAS, serta dilantik menjadi ketua Pemuda PAS yang pertama.

Lima: Sejarah juga menceritakan semasa akan berlaku penubuhan PAS, beberapa perjumpaan antara ahli-ahli UMNO telah diadakan di Johor, Perak dan Kuala Lumpur. Mereka berjaya membentuk sebuah panatia penaja untuk mengusahakan perlaksanaan penubuhan PAS. Antara yang terpilih ialah:

1.Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan - Pengerusi
2.Ustaz Haji Ahmad Maliki - Setiausaha
3.Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah - Anggota
4.Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Anggota
5.Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein - Anggota
6.Tuan Haji Mansor J.P - Anggota
7.Dua tiga orang ulama yang menjadi ahli dari Selangor dan Negeri Sembilan.

Panatia penaja inilah yang berusaha merangka perlembagaan serta menamakan pertubuhan yang dicita-citakan itu, iaitu dengan nama Pertubuhan Ulama Se-Malaya. Panatia ini telah berusaha mengadakan Persidangan dengan Persatuan-Persatuan Kebajikan Melayu atau Islam, Majlis Agama Islam Negeri, Ulama Perseorangan, Para Kadhi dan juga Mufti.

Panatia dua hari yang diadakan di Kelab Melayu Bagan, Butterworth, Seberang Prai, pada 22 &23 Ogos 1951 bersamaan 21 & 22 Zulkaedah 1370H.

Ada juga yang menyebutkan Ustaz Uthman Hamzah Guru Madrasah Ihya As-Syarif juga bekas Ahli Jawatan Kuasa Eksekutif Hizbul Muslimin dan Syed Abdullah Hamid Al-Edrus seorang penulis dan penerbit di Singapura adalah di antara yang memainkan peranan penting dalam penubuhan PAS. Begitu juga penyokong-penykong terdiri dari guru-guru pondok, ustaz-ustaz, imam-imam dan pelajar-pelajar sekolah agama.

Enam: Saya pernah menulis..

Pada 23 Ogos 1951, adalah hari perasmian penubuhan Persatuan Ulama Se Malaya di Bangunan Kelab Melayu Bagan, Butterworth. Setelah masing-masing setuju penubuhannya, undang-undang tubuh pun dibahas untuk disahkan.

Seorang perwakilan dari Persatuan Al-Ihya Al-Syarif, Gunung Semanggul Perak, membahas nama yang tertera di rangka undang-undang tubuh tersebut. Beliau adalah Ustaz Uthman Hamzah bekas anggota Hizbul Muslimin dahulu. Beliau mencadangkan nama Persatuan Ulama Se Malaya dipinda kepada Persatuan Islam Se Malaya atau sebutan ringkasnya PAS.

Alasannya, kerana ahli-ahlinya terbuka kepada umum, yakni orang-orang Islam yang akil baligh (tidak semestinya ulama) dan beberapa alasan lain. Beliau, meragui penyertaan ulama yang kurang memuaskan. Cadangannya tidak diterima oleh jawatankuasa penaja dan Puan Dasimah Dasir yang mewakili Kaum Ibu UMNO, terus menjadi perbahasan. Pengerusi waktu itu adalah Haji Mohd Ghazali Abdullah, yang menghadkan kepada tiga nama sahaja untuk diundi.

Iaitu:

i.Persatuan Islam Se Malaya (PAS) yang mendapat undi sebulat suara.
ii.Persatuan Ulama Se Malaya.
iii.Persatuan Muslimin Tanahair (PERMATA) atau Pertubuhan Islam Malaya (PERTAMA).

Maka PAS ditubuhkan hasil dari muktamar tersebut. Alamat pejabatnya waktu itu: No 721, Kepala Batas, Seberang Prai.

Tujuan-tujuan awalnya ialah:

1. Mewujudkan satu perikatan persaudaraan Islam untuk membentuk satu tenaga
    bersama bagi menyelenggarakan segala tuntutan Islam dan siasah yang berdasarkan
    demokrasi.
2. Menumpukan segala ikhtiar dan tenaga untuk menyatukan perlembagaan pentadbiran
    agama di seluruh negara.
3. Memelihara dan mempertahankan hak-hak kepentingan dan kehormatan agama dan
    umat Islam.
4. Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan siasah yang lain di dalam negara ini,
    yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran-ajaran agama Islam
    di dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan kemanusiaan.
5. Pegawai-pegawai persatuan’ atau pimpinannya terdiri dari;

i.Seorang Yang Di Pertua.
ii.Seorang Timbalan Yang Di Pertua.
iii.3 orang Naib Yang Di Pertua.
iv.Seorang Setiausaha Agung.
v.Seorang Bendahari
vi.12 Ahli Jawatankuasa. 
Mereka hendaklah dipilih dan dilantik dalam mesyuarat agung, 
kecuali 1/3 dari ahli jawatankuasa hendaklah dilantik oleh Yang Di Pertua.

Jawatan mereka hanya setahun, iaitu hingga bertemu mesyuarat agung tahun hadapan. Tugas-tugas dan kewajipan juga terdapat dalam undang-undang tubuh Persatuan Islam Se-Malaya tersebut.

Antara barisan kepimpinan pertama yang dilantik menerajui PAS termasuklah:

1.Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan - Yang Dipertua Agung
2.Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Timbalan Yang Dipertua Agung
3.Tuan Haji Hussin Che Dol - Naib Yang Dipertua Agung (Utara)
4.Fakir Muhammad Nor - Naib Yang Dipertua Agung (Tengah)
5.Abdul Rahman Jamaluddin al-Jambuli - Naib Yang Dipertua Agung (Selatan).
6.Tuan Haji Ahmad Maliki - Setiausaha Agung
7.Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein – Bendahari.
8.... * (Antara nama yang tertinggal di sini akhirnya difahamkan ialah Haji Mansur JP.:)

Ahli Jawatankuasa pula terdiri daripada:

1.Tuan Haji Yahya Joned
2.Tuan Haji Uthman Talib
3.Tuan Haji Mohammad Nor
4.Tuan Haji Zabidi Ali
5.Tuan Haji Abdul Wahab
6.Tuan Haji Assaiya
7.Muhammad Mahzub
8.Tuan Haji Ahmad Nadur.

Permohonan pendaftarannya dibuat di pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaya, di Pulau Pinang. Apabila hampir pilihan raya kebangsaan 1955, barulah kelulusannya didapati, iaitu pada 31 Mei 1955. Registration no 773 (Penang). Rujukan kelulusan pendaftarannya 34 in R. of. S 26/52.

Begitu, kira-kira.

Oleh Dr Hj Mohd Hasyim
Sumber:
http://www.wasukalu.com/2013/11/cina-islam-dan-penubuhan-pas-1951-siapa.html

No comments:

Post a Comment